Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Lee Kim Shin pada sidang media MRC Charity Run di Institut Latihan Bulan Sabit Merah Miri, hari ini. Foto TVS

Larian amal pacu sinergi komuniti jaga kesihatan

ByVanessa Enjop

MIRI, 1 Julai: Usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan kegagalan buah pinggang bukan hanya bergantung kepada peranan kerajaan atau institusi perubatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada seluruh lapisan masyarakat.

Menerusi penganjuran MRC Charity Run for Blood and Organ Vitality 2.0 pada 19 Oktober ini, sinergi itu jelas tergambar apabila inisiatif kesihatan digerakkan secara bersama oleh badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan komuniti setempat, termasuk penglibatan aktif kumpulan belia.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata larian amal yang digerakkan Cawangan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC) Miri itu bukan sekadar platform mengumpul dana, malah menjadi wahana menyatukan masyarakat dalam semangat kesukarelawanan dan advokasi kesihatan.

“Kami amat menghargai sokongan daripada pelbagai pihak, khususnya persatuan belia dan komuniti tempatan. Ini menunjukkan kesedaran semakin tinggi bahawa kesihatan komuniti adalah tanggungjawab bersama,” katanya pada sidang media di Institut Latihan Bulan Sabit Merah Miri, hari ini.

Beliau menegaskan, usaha membendung penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi perlu bermula di peringkat pencegahan dan kesedaran terhadap penjagaan organ utama seperti buah pinggang, jantung dan paru-paru mesti dipupuk sejak awal.

Larian sejauh lima kilometer dan 10 kilometer itu akan bermula dari Pusat Dialisis MRC di Permyjaya dan terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga serta pelari berpengalaman.

Dana yang dikumpul akan disalurkan untuk membiayai perkhidmatan sosial dan kesihatan MRC termasuk pusat dialisis, program pendermaan darah dan organ, ambulans dan bantuan kecemasan serta Pusat Kanak-Kanak Istimewa Sunflower.

Dalam pada itu, beberapa sesi saringan kesihatan turut dijadualkan menjelang tarikh larian, antaranya pada 22 Julai di Bintang Megamall serta 10 Ogos dan 27 hingga 28 September di Recreational MRC Miri.

Antara saringan yang ditawarkan termasuk ujian glukosa, tekanan darah, pemeriksaan scoliosis, pendengaran, komposisi badan, latihan CPR dan pemeriksaan payudara.

“Kita mahu budaya sihat ini menjadi gerakan rakyat. Bila semua pihak berganding bahu, kita bukan saja menyelamatkan nyawa, tetapi menguatkan jalinan perpaduan dalam komuniti,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan