BINTULU, 1 Julai: Seramai 27 penghuni terselamat dalam kejadian kebakaran membabitkan lapan rumah di Kampung Sebuan Besar, Jepak di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan dua rumah musnah hampir keseluruhan, manakala enam rumah terbakar antara 10 hingga 100 peratus dalam kejadian itu.
JBPM menerima panggilan mengenai kejadian pada kira-kira jam 2.35 petang.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu tiba di lokasi jam 2.46 petang dan mendapati api sedang marak melibatkan lapan struktur rumah,” menurut kenyataan JBPM.
Menurut kenyataan itu, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PPgB) Francis Aceh dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.30 petang sebelum kerja overhaul dilakukan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.22 petang.
Pasukan bomba menggunakan konsep pemadaman R.E.C.E.O dengan satu aliran salur bantu mula, dua aliran dua bahagian sepanjang 600 kaki menggunakan tiga nozel dari pili bomba serta satu aliran 200 kaki dari jentera Scania BBP Kidurong.