SARATOK, 1 Julai: Kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja baik pulih jeti utama di tebingan Saratok digesa segera memastikan ponton di kawasan itu selamat digunakan menjelang penganjuran Regata Kalaka yang bakal berlangsung 11 Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata aspek keselamatan jeti amat penting memandangkan Sungai Krian akan menjadi tumpuan utama pengunjung semasa regata berlangsung.
“Ponton ini masih belum boleh digunakan dan perkara ini amat merisaukan saya kerana dikhuatiri boleh mengundang kejadian tidak diingini kepada pengunjung yang hadir menyaksikan regata kelak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, kontraktor pelaksana perlu segera menyelesaikan isu berkenaan dan memastikan jeti tersebut siap dengan selamat dalam masa terdekat.
“Kita telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok untuk berbincang dengan pihak kontraktor agar ponton itu dapat digunakan dengan selamat, khususnya oleh pengunjung yang hadir ketika regata berlangsung.
“Saya mahu bukan sekadar siap, tetapi betul-betul selamat untuk digunakan,” tegasnya.