KUCHING, 1 Julai: Komuniti perlu sentiasa berfikiran terbuka dan tidak mudah terpengaruh dengan pandangan luar yang tidak memahami realiti pengurusan hutan dan perundangan di lapangan, kata Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad.
Beliau mengingatkan bahawa mereka harus bijak dalam menentukan hala tuju sendiri demi kepentingan tanah, hutan serta masa depan generasi akan datang, di samping bersedia untuk menyesuaikan diri dengan arus pembangunan.
“Jabatan Hutan Sarawak terus komited dalam melaksanakan inisiatif perhutanan sosial dan pembangunan komuniti, termasuklah program latihan komuniti, projek pembangunan ekonomi alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu (NTFP), pengiktirafan Community Representative Committee (CRC), serta pelaksanaan projek-projek pemulihan ekosistem dengan penglibatan aktif penduduk setempat.
“Melalui pendekatan inklusif ini, komuniti bukan sahaja berperanan sebagai penerima manfaat tetapi juga sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan pengurusan hutan secara lestari,” katanya semasa berucap pada Bengkel Community-Based Conservation 2025, semalam.
Bengkel sehari itu menghimpunkan 66 peserta daripada komuniti yang terlibat dalam projek Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) di Ulu Baram, Anap–Muput dan Ulu Mukah serta komuniti dari kawasan projek Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang berada di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
Bengkel itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada wakil pelbagai pihak yang terlibat, selain perkongsian kejayaan wakil komuniti, antaranya oleh Daud Sedin dari Ba’ Data Bila berkaitan kejayaan mereka memperoleh pelbagai kemudahan asas hasil kerjasama erat dengan pihak syarikat dan kerajaan negeri Sarawak.
Pada program tersebut turut diadakan majlis penyerahan rasmi tiga projek siap kepada komuniti di Ulu Baram iaitu pembinaan Laluan Pejalan Kaki Long Lama, Laluan Pejalan Kaki Lio Mato, dan penambahbaikan Sistem Air Graviti di Ba’ Muboi yang siap sepenuhnya pada April lepas hasil kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak dan ITTO. -TVS