Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, semasa mengadakan lawatan ke Menara (MOCN) 4G Enam Hala Yes Tanjung Asam, Gertak Sanggul, di Balik Pulau, hari ini.

Kadar adil kepada 23.6 juta pengguna elektrik domestik bermula hari ini

ByTVS

BALIK PULAU, 1 Julai: Sebanyak 23.6 juta akaun pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan tarif elektrik baharu yang bermula pada 1 Julai 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tarif asas baharu ini malah akan menyaksikan penurunan purata kos elektrik sehingga 19 peratus berbanding tempoh sebelumnya, yang sekaligus disambut baik oleh pengguna.

“Semua akaun TNB yang menggunakan kurang daripada 1000 kilowatt jam dijangka bukan sahaja bil mereka akan kekal, malah berkemungkinan akan turun.

“Jadi, ini berdasarkan apa yang telah diterbitkan oleh TNB. Kita jangkakan bagi kebanyakan isi rumah, kita akan saksikan sama ada tarifnya atau bilnya sama atau berkurangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Menara (MOCN) 4G 6 hala Yes Tanjung Asam, Gertak Sanggul, di sini.

Turut hadir, Exco Infrastruktur Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, antara reformasi Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terhadap tarif baharu itu adalah mengenai masa penggunaan elektrik, iaitu tempoh bermula pukul 2 petang hingga 10 malam yang dianggap sebagai waktu puncak.

“Pengguna digalakkan menggunakan peralatan elektrik, terutamanya berkuasa tinggi, di luar waktu berkenaan sebagai langkah penjimatan penggunaan tenaga,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan bahawa pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan kerajaan akan memastikan kadar elektrik yang lebih adil, progresif, dan mampu milik kepada lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

Penetapan tarif itu akan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027, mengikut kerangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR), selaras dengan peruntukan seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perubahan tarif elektrik bagi tempoh regulatori keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen, iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu, dan mekanisme pelarasan kos bahan api.

Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan akan bertindak segera berdasarkan aduan orang ramai mengenai aktiviti pencatutan atau manipulasi harga susulan pelaksanaan tarif baharu itu.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Kesan 4.0 serentak pada hari ini untuk membanteras aktiviti berkenaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan