ALABAMA (USA), 1 Julai: Atlet bina badan Malaysia, Lans Koperal Faizal Mat Rasyid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai kategori Men Sport Physique Atas 167cm pada Kejohanan World Police & Fire Games (WPFG) 2025 yang berlangsung di The Lyric Theatre, Alabama, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Dalam kejohanan bertaraf dunia yang disertai lebih 8,500 peserta dari lebih 70 negara, Faizal menampilkan persembahan mantap dan penuh keyakinan untuk mengatasi cabaran hebat atlet antarabangsa.
Kemenangan ini sekali gus mengharumkan nama negara dan membuktikan kemampuan anggota keselamatan negara di pentas global.
“Saya amat gembira dapat bersaing dengan atlet-atlet luar negara yang pastinya memberi cabaran besar, tetapi dengan semangat dan keyakinan yang tinggi, saya dapat mengharumkan nama negara dengan meraih tempat pertama,” kata Faizal ketika ditemui selepas kejayaan tersebut.
Mengulas tentang persiapan sebelum kejohanan, Faizal mengakui menghadapi pelbagai rintangan termasuk perjalanan yang panjang, perbezaan cuaca, dan perubahan pola pemakanan.
Namun, katanya, disiplin dalam menjaga latihan dan diet menjadi faktor utama kejayaan beliau kali ini.
Bukan asing dalam dunia bina badan, Faizal sebelum ini pernah muncul juara Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Mr. Police & Mr. Pahang 2024 serta menduduki tempat keempat di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2024.
Dengan pencapaian terbaru ini, beliau membuktikan bahawa keazaman dan komitmen mampu membawa kejayaan di peringkat tertinggi.
WPFG merupakan temasya sukan ala Olimpik yang menghimpunkan anggota barisan hadapan seperti polis, bomba, imigresen dan kastam dari seluruh dunia. Dianjurkan dua tahun sekali oleh California Police Athletic Federation (CPAF), kejohanan ini menampilkan lebih 60 jenis sukan dan menjadi platform penting bagi atlet keselamatan dunia. – TVS