Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengurus Pembangunan Program dan Transformasi Pembelajaran Sarawak Skills, Norizan Sebri (kiri) dan Profesor Madya Dr Isabel Fong Lim dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ketika ditemui pemberita. Foto Awang Azmil (TVS).

DigitalNEXUS eratkan jurang masyarakat, industri digital

ByAtikah Norman

KUCHING, 1 Julai: Persidangan dan pameran teknologi, UNIMAS Digital Technology Nexus 2025 (DigitalNEXUS) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menjadi pemangkin kepada kesedaran masyarakat berkaitan potensi sebenar teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) sekali gus merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan industri dalam era pendigitalan.

Pengurus Pembangunan Program dan Transformasi Pembelajaran Sarawak Skills, Norizan Sebri berkata bahawa acara sebegini bukan sahaja memperkenalkan teknologi terkini kepada masyarakat malah mampu memperkasakan golongan belia untuk menguasai teknologi tersebut.

“Platform seperti DigitalNEXUS ini sangat bagus untuk membuka mata masyarakat tentang peranan AI yang boleh membantu meningkatkan produktiviti, bukan sahaja dari segi pekerjaan malah dalam pembelajaran, katanya apabila ditemui oleh pemberita, di sini, hari ini.

Tambahnya, pendedahan kepada teknologi digital menerusi program ini selari dengan aspirasi Sarawak yang giat dalam agenda pendigitalan seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Sementara itu, menurut Profesor Madya Dr Isabel Fong Lim dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), AI bukan lagi topik yang jarang dibahaskan dalam sektor pendidikan dan penyelidikan, malah diguna secara berleluasa.

“Teknologi digital sangat berguna kepada Sarawak sejak pandemik melalui pemodelan penyakit dan kini pemodelan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dihasilkan melalui penggunaan AI,” ujarnya.

Lim juga menekankan penganjuran persidangan seperti ini memberi ruang kepada pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah menengah, pengkaji dan pelabur untuk berkongsi pandangan dan pendapat serta memperluas jaringan kerjasama.

Sehubungan itu, Norizan turut menyifatkan institusi-institusi seperti UNIMAS sebagai salah satu faktor penting dalam menyokong pendigitalan melalui pengenalan modul-modul baru sebagai inisiatif kesedaran teknologi dalam kalangan pelajar.

Dalam pada itu, mereka juga menyentuh berkenaan cabaran utama yang dihadapi belia dan masyarakat umum ketika didepani arus teknologi termasuk kekurangan kemahiran dan pemahaman terhadap kepentingan teknologi digital.

“Ramai yang masih takut AI akan mengambil alih pekerjaan kita. Hakikatnya, kita yang mengawal teknologi tersebut, bukan sebaliknya.

“Oleh itu, kita mesti meningkatkan pemahaman terhadap penggunaan AI supaya kita tahu bagaimana untuk menerapkan AI dalam kehidupan seharian kita,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan