PUTRAJAYA, 1 Julai: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyasarkan untuk memuktamadkan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pada September tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementerian itu merancang untuk membentangkan draf pindaan akta tersebut di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.
“Setelah sekian lama diperjuangkan, kini kita berada di fasa akhir untuk melihat kejayaan untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), di mana Akta 134 yang menyentuh pemilikan tanah masyarakat Orang Asli,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kejayaan meminda akta berkenaan bakal memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat Orang Asli, khususnya dalam memperkukuh perlindungan hak serta memperkasakan kedudukan komuniti tersebut dalam arus pembangunan negara.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa pindaan akta yang berusia lebih 70 tahun itu akan membabitkan beberapa perkara, termasuk isu tanah yang sering menjadi pertikaian antara komuniti Orang Asli dengan kerajaan negeri serta tuan tanah, sama ada swasta atau kerajaan, selain membabitkan istilah kawasan rayau. – TVS