BINTULU, 30 Jun: Ekosistem terumbu karang di perairan Sarawak kini berdepan tekanan akibat pencemaran laut dan aktiviti manusia tidak lestari sekali gus memerlukan pendekatan pemulihan inklusif melibatkan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi berkata, penglibatan langsung masyarakat adalah kunci kepada kejayaan inisiatif pemuliharaan marin jangka panjang.
“Aktiviti pembersihan terumbu karang ini adalah langkah proaktif ke arah pemulihan kawasan marin serta membuka ruang kepada penyelidikan saintifik, pendidikan alam sekitar dan penyertaan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Aktiviti Pembersihan Terumbu Karang anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu di Pangkalan Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Bintulu.
Majang menjelaskan, inisiatif tersebut bukan sahaja bersifat fizikal tetapi berfungsi sebagai wadah pendidikan alam sekitar terutama kepada generasi muda untuk memupuk nilai kelestarian.
“Ia bukan sekadar mitigasi terhadap pencemaran laut tetapi juga wahana pendidikan penting bagi membentuk kesedaran awam terhadap sumber marin,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan usaha pemuliharaan tidak boleh hanya bergantung pada teknologi sebaliknya perlu didorong oleh kesedaran kolektif masyarakat dalam menjaga alam sekitar.-TVS