KUCHING, 30 Jun: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) terus mengorak langkah sebagai pemacu utama hubungan dua hala Sarawak–Singapura, apabila meraikan ulang tahun keenam penubuhannya, bulan ini.
Dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 20 Jun 2019, STATOS bermula dengan hanya tiga kakitangan dan kini berkembang kepada pasukan seramai 10 orang yang aktif mempromosi pelaburan, perdagangan dan pelancongan negeri itu di republik berkenaan.
Menurut kenyataan STATOS, sejak penubuhannya, pelbagai inisiatif berimpak tinggi berjaya dilaksanakan termasuk kempen media sosial, promosi video, padanan perniagaan serta kerjasama strategik dengan institusi korporat dan akademik.
“Hasil usaha ini, kemasukan pelancong dari Singapura ke Sarawak mencatat peningkatan sebanyak 29 peratus sejak 2019,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi Lembaga Pengarah STATOS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata STATOS memainkan peranan penting dalam memacu kepentingan Sarawak melalui pencarian prospek bernilai tinggi, mendorong kerjasama strategik serta mengenal pasti peluang yang boleh diterjemah kepada hasil pelaksanaan.
“Matlamat kami ialah membawa pulang hasil yang boleh dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan di Sarawak bagi menjayakan pelaburan, perdagangan dan pelancongan negeri,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan, pula berkata STATOS turut memainkan peranan melangkaui promosi biasa apabila menjadi pemangkin kepada inisiatif besar seperti Projek H2ornbill, hasil jalinan awal dengan Sumitomo Corporation di Singapura pada 2019.
“Kami berbangga menjadi antara pemula kepada banyak projek berimpak tinggi seperti ini. Sebagai ‘tingkap Sarawak’, kami terus komited membuka peluang, membina jambatan kerjasama dan menyokong agenda kelestarian negeri,” katanya.
Pengarah EU Holidays Pte Ltd, Wong Yew Hoong, menyifatkan Sarawak sebagai destinasi baharu yang semakin mendapat perhatian rakyat Singapura.
“Ramai pelancong belum mengenali Sarawak. Namun hasil kerjasama dengan STATOS, kami melihat pertambahan minat dan kemasukan pelancong yang menggalakkan,” katanya.
Selain pelancongan, STATOS turut membuka laluan kepada produk tempatan menembusi pasaran luar, termasuk perusahaan sosial berasaskan warisan makanan dan hasil semula jadi.
“STATOS telah menjadi pemangkin kepada pendedahan global terhadap warisan berasaskan tumbuhan Sarawak,” kata Pengarah Eksekutif Supreme Indah Sdn Bhd, Trudy Tan.
“Kami juga berbangga kerana STATOS menyediakan platform berkesan untuk mempromosikan produk inovatif Sarawak,” kata Andrew Nguang, Pengarah East Asia Palm Products Sdn Bhd.
STATOS kini bersiap sedia untuk menganjurkan Sarawak Mega Fair 2025 di Singapura dengan kerjasama Pejabat Premier Sarawak dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) sebagai usaha memperkukuh eksport, pelaburan dan promosi pelancongan negeri itu.