BINTULU, 30 Jun: Sarawak Forestry Corporation (SFC) terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti marin negeri ini menerusi gabungan pendekatan saintifik, teknologi terkini dan pemerkasaan komuniti setempat.
Pengurus Besarnya, Abang Arabi Abang Aimran berkata sebagai agensi yang mentadbir kawasan perlindungan sepenuhnya di Sarawak, SFC sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara pemuliharaan dan pembangunan mampan.
“Kita bukan sahaja menjaga kawasan hutan dan taman negara, tetapi juga mengurus wilayah-wilayah marin di Sarawak yang kaya dengan biodiversiti, namun berdepan ancaman akibat aktiviti manusia dan perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program aktiviti pembersihan terumbu karang di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha pemuliharaan marin SFC bermula sejak tahun 2000 menerusi penubuhan unit khas yang memantau kawasan pesisir dan terumbu karang.
“Pendekatan bersepadu diaplikasikan dengan menggabungkan data saintifik daripada makmal dan universiti ke dalam dasar serta pelaksanaan di lapangan, sekali gus menjadi sebahagian daripada dasar pemuliharaan Sarawak secara keseluruhan,” katanya.
Abang Arabi berkata, SFC turut melatih pegawai teknikal sebagai pendidik alam sekitar dan fasilitator komuniti bagi menyampaikan mesej pemuliharaan dengan lebih berkesan.
Antara teknologi digunakan termasuk kenderaan kawalan jauh dasar laut atau remote operated vehicle (ROV), sensor kualiti air dan pemetaan dasar laut, selaras pendekatan saintifik yang diterapkan secara berterusan.
Katanya, usaha itu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaya.