KUCHING, 30 Jun: Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengaktifkan operasi memburu buaya di sekitar Sungai Paroh di sini susulan kejadian seorang lelaki maut diserang reptilia ganas itu baru-baru ini.
Menurut kenyataan SFC,operasi yang bermula hari ini sehingga 13 Julai itu bertujuan menangani ancaman hidupan liar berkenaan dan memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terpelihara.
Operasi membabitkan pasukan khas SWAT bersama agensi penguat kuasa lain itu akan memberi tumpuan di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.
“Arahan telah dikeluarkan oleh Controller Hidupan Liar merangkap Pengurus Besar SFC agar buaya yang dikenal pasti sebagai ancaman dikeluarkan serta-merta,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Penduduk setempat turut dinasihatkan agar menangguhkan sebarang aktiviti sungai sepanjang tempoh operasi berlangsung demi keselamatan diri dan komuniti.
Bagi menyokong usaha berterusan itu, SFC akan menambah papan tanda amaran bahaya buaya di lokasi strategik, selain meneruskan Kempen Kesedaran 3M Buaya – Mengenali, Memahami dan Memulihara – dengan penekanan khusus kepada aspek keselamatan.
Jelas SFC, antara punca utama kehadiran buaya berhampiran kawasan penempatan manusia ialah akibat pembuangan sampah, sisa makanan dan bangkai haiwan ke dalam sungai, selain tindakan memberi makan kepada buaya.
“Tindakan ini perlu dihentikan serta-merta kerana ia menarik buaya mendekati kawasan kediaman dan meningkatkan risiko serangan,” katanya lagi.
SFC akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah dan Lembaga Sungai Sarawak dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap pentingnya menjaga kebersihan sungai dan keselamatan bersama.
Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berwaspada, terutamanya ketika berada di habitat buaya pada waktu malam.
Sebarang kemunculan buaya yang mencurigakan atau mengancam keselamatan boleh dilaporkan segera melalui aplikasi Sarawak Croc Watch atau talian hotline SFC.