SIBU, 30 Jun: Sarawak perlu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang sistem tenaga solar sejajar dengan aspirasi negeri ini meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu menjelang 2030 dan 2035.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Haji Narawi berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan negeri ini dapat mencapai sasaran 10 gigawatt (GW) kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035 termasuk 1,500 megawatt (MW) daripada sumber solar.
“Bagi mencapai matlamat ini, Sarawak mensasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus campuran tenaga daripada sumber boleh baharu.
“Ini termasuk pembangunan projek berskala besar seperti ladang solar atas tanah dan sistem solar terapung, selain skim Net Energy Metering (NEM) dan Self-Consumption (SELCO) yang menyasarkan penglibatan sektor komersial, industri dan individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan Sijil Akreditasi daripada kementeriannya oleh Pengarah Bekalan Elektrik, Ir. Ts Muhammad Randi Abdullah kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Prof. Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid di kampus utama UTS di sini, hari ini.
Sijil akreditasi itu memberi pentauliahan kepada UTS untuk menjalankan kursus Rekabentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV), sejajar dengan usaha memperkukuh pembangunan sektor tenaga boleh baharu di negeri ini.
Julaihi menegaskan, kursus tersebut akan memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berpengetahuan dan bersedia menyumbang kepada pertumbuhan industri tenaga hijau negeri.
Dalam pada itu, Prof. Datuk Dr Khairuddin berkata, sebagai sebuah universiti teknologi milik penuh kerajaan negeri, UTS komited menyokong penuh aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga hijau serantau.
“Melalui kerjasama strategik bersama Entera Technology Academy, kami akan memastikan kandungan kursus ini selaras dengan keperluan industri dan sejajar dengan kemajuan teknologi semasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Entera Technology Academy, Ir. Dr Haji Abang Hatta Abang Taha berkata, gabungan kepakaran daripada industri, akademik dan rakan teknikal antarabangsa seperti Global Sustainable Energy Solutions (GSES) dari Australia diyakini mampu menghasilkan sinergi menyeluruh serta memberi impak besar kepada pembangunan modal insan dalam bidang solar. -TVS