BINTULU, 30 Jun: Sarawak memperkukuh lagi misi pembangunan mampan dan ekonomi hijau menerusi pelancaran Projek COREEFS yang dilihat selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
Projek Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship (COREEFS) itu dilancarkan di Bintulu hari ini sebagai salah satu inisiatif saintifik berimpak tinggi dalam memelihara ekosistem terumbu karang yang semakin terancam.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi berkata pendekatan yang digunakan dalam projek itu sejajar dengan teras PCDS 2030 yang menekankan pembangunan mampan, tadbir urus alam sekitar dan keseimbangan ekologi.
“COREEFS bukan hanya projek pemuliharaan biasa. Ia sebuah strategi jangka panjang yang menyokong agenda hijau Sarawak melalui penggunaan teknologi terkini seperti pemetaan dasar laut, sistem Geographic Information System (GIS) dan pemasangan struktur ‘reef ball’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan program pembersihan terumbu karang di Pangkalan Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah 5, di sini, semalam.
Majang turut menjelaskan bahawa ia juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan tidak berlaku atas pengorbanan alam sekitar.
Dengan pendekatan saintifik dan kolaboratif, Sarawak berada pada landasan tepat untuk menjadi peneraju dalam pemuliharaan sumber marin di rantau ini.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Bintulu, dan disertai pelbagai agensi serta komuniti setempat.