MIRI, 30 Jun: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM164,432 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Pujut 7, di sini pada 26 Jun.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan IPD Miri turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang disyaki penjaga stor dadah.
Menurutnya, rampasan melibatkan 1,759 gram methamphetamine, 1,024 gram ketamin, 2,111 gram ganja, 158 batang pod dipercayai mengandungi psilocybin (mushroom) serta 20 botol cecair vape psilocybin, masing-masing seberat 10 mililiter.
“Keseluruhan rampasan ini boleh digunakan untuk menampung keperluan kira-kira 15,243 penagih,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dipercayai diupah sebanyak RM500 sebulan bagi menyimpan stok bekalan daripada ahli sindiket dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 27 Jun hingga 4 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, pesalah boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan rotan.
Tambah beliau, polis masih memburu saki-baki ahli sindiket yang terbabit dalam kegiatan tersebut.
Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah itu secara berterusan.