KUCHING, 30 Jun: Inisiatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak menjalankan penyelidikan biofuel berasaskan mikroalga mendapat sokongan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Menurut Dr. Hazland, projek tersebut mampu menyumbang kepada peralihan Sarawak ke arah tenaga hijau di samping membuka peluang baharu dalam sektor bioekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat strategik Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 khususnya dalam memajukan tenaga bersih dan ekonomi rendah karbon,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Dr. Hazland menerima kunjungan hormat daripada UiTM diketuai Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri merangkap Ketua Projek Alga UiTM Sarawak, Profesor Dr Juferi Idris.
Kunjungan hormat tersebut diadakan untuk membentangkan penyelidikan dan pembangunan terkini universiti dalam bidang penanaman mikroalga serta potensinya sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampan.
Mikroalga merupakan organisma yang membesar dengan pantas dan menyerap karbon serta menunjukkan potensi besar sebagai bahan mentah untuk biofuel kerana kandungan lipid tinggi, pengeluaran biomassa cepat dan keperluan tanah minimum.
Menurut kenyataan sama, Projek UiTM Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan sistem penanaman berskala besar dan penerokaan integrasi dengan pelepasan CO₂ industri bagi meningkatkan kelestarian serta kecekapan.-TVS