SARATOK, 30 Jun: Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau AI dilihat mampu memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dan menjadikannya lebih efisien, interaktif serta menyeronokkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, meskipun AI tidak boleh menggantikan guru, tetapi ia mampu berperanan penting sebagai alat bantu pengajaran yang berkesan.
“Dalam bidang pendidikan, penggunaan AI ini kita perlu melihatnya dari sudut positif dalam usaha untuk memperkasakan sistem pendidikan.
“Banyak perkara dapat dilakukan menggunakan teknologi ini dan sebagai salah satu pemudah cara kepada guru mahu pun plelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun SMK BM Saratok di sini pada Isnin.
Menurutnya, penggunaan AI dalam sistem pendidikan juga memudahkan para guru dalam penyediaan bahan pengajaran serta maklumat berkaitan sesuatu bidang kemahiran yang akan diajar kepada pelajar.
Jelasnya lagi, AI juga memberi akses luas kepada guru untuk bahan pembelajaran yang relevan dan berkualiti tinggi. -TVS