BUTTERWORTH, 30 Jun: Mangsa yang terlibat dalam tragedi bot terbalik yang mengorbankan tiga nyawa di Pulau Perhentian, Terengganu malam kelmarin, telah meminta jaket keselamatan daripada pemandu bot, namun ditolak dengan alasan jaket tersebut basah.
Menceritakan detik cemas itu, isteri mangsa yang lemas, S. Sanggetha, 39, berkata, rombongan yang terdiri daripada lapan dewasa dan tujuh kanak-kanak itu membuat keputusan menaiki teksi air selepas mereka selesai makan malam di Pantai Panjang untuk pulang ke resort.
“Kami minta jaket keselamatan, tetapi pemandu bot tidak beri kerana alasan basah dan mengatakan perjalanan dekat sahaja, sekitar 10 hingga 15 minit.
“Kami risau kerana terdapat ramai kanak-kanak, tetapi dia tetap enggan memberi biarpun laut sangat bergelora dan hujan lebat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Bayu Aman di sini, hari ini.
Dalam insiden itu, Sanggetha kehilangan suami, S. Arumugam, 40, dan anak bongsu berusia 3 tahun, Sarrvhika.
Katanya, semasa kejadian dia sedang memegang anak perempuan sulung, Hirsshika, 9, manakala suami merangkul Sarrvhika.
“Sebaik hampir tiba di kawasan resort dan ketika bot sudah melepasi separuh perjalanan, ombak besar tiba-tiba melanda dan menyebabkan bot hilang kawalan sebelum terbalik.
“Saya yang tidak tahu berenang berjaya keluar dari bahagian bawah bot bersama Hirsshika sebelum diselamatkan orang awam,” katanya lagi.
Katanya, dia dan keluarga bersama rakan-rakan sekolah suami pergi ke pulau berkenaan untuk meraikan hari lahir ke-40 suaminya.
Dalam insiden kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin, tiga termasuk dua kanak-kanak dilaporkan lemas selepas sebuah bot yang dinaiki mereka terbalik di hadapan sebuah resort di Pulau Perhentian.
Seorang lagi mangsa yang lemas ialah Vennapani Vijey Raj, 10.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, kejadian berlaku semasa bot yang dinaiki 16 individu, termasuk pemandu bot, dalam perjalanan pulang ke resort dalam keadaan hujan lebat dan laut bergelora.
Katanya, pemandu bot berusia 22 tahun yang didapati positif dadah turut ditahan untuk siasatan lanjut. – TVS