SHAH ALAM, 30 Jun: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengesahkan paip gas yang terlibat dalam insiden letupan di Putra Heights, Subang Jaya memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Husdin Che Amat berkata sebaliknya hasil analisis makmal mendapati keadaan bahagian bawah paip yang tidak disokong sepenuhnya oleh tanah, dikenal pasti telah lembut dan lembap seterusnya memberi tekanan kepada permukaan paip.
Beliau berkata keadaan tanah yang lemah menyebabkan paip bergerak berulang kali sehingga menimbulkan tekanan berulang dan garis keletihan pada permukaan paip.
“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudiannya terbakar.
“Analisis metalografi turut menunjukkan lebihan tegangan menjadi punca utama kegagalan dan kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas pembentangan laporan siasatan letupan paip gas Putra Heights yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di sini hari ini.
Sementara itu, Hussein berkata kerja-kerja pengorekan tanah untuk penggantian paip kumbahan yang dijalankan oleh kontraktor tidak mengakibatkan gangguan kepada paip Petronas secara langsung.
“Paip gas Petronas berada pada kedalaman 5.6 meter dari paras jalan dan terletak 3.5 meter dari paip kumbahan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata tiada sebarang kerja pembinaan dijalankan semasa kejadian dengan kerja-kerja penggantian paip kumbahan telah berakhir pada 30 Mac 2025.
Mengulas lanjut, Hussein berkata tiada sebarang petunjuk dari segi bacaan tekanan oleh Pusat Kawalan Gas Petronas (PGCC) sebelum kejadian berlaku .
“Bacaan tekanan gas di dalam paip adalah normal dan semasa kejadian, bacaan tekanan gas turun dengan mendadak,” katanya sambil menambah tiada sebarang sisa bahan letupan dijumpai di kawasan insiden.
Hussein berkata siasatan pihak polis meliputi dua aspek iaitu perbuatan khianat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta kecuaian mengikut Seksyen 285 dan 286 kanun yang sama.
Beliau berkata tumpuan siasatan diberikan kepada kerja-kerja pihak kontraktor di kawasan letupan termasuk pembinaan lot-lot kedai dan penggantian paip pembentungan.
“Selain itu, tumpuan siasatan meliputi sebarang aktiviti khianat atau sabotaj oleh mana-mana pihak serta lain-lain (aspek) seperti bom, pembakaran mercun dan sebagainya,” katanya.
Hussein berkata sepanjang siasatan berkenaan, pihak polis telah merakam keterangan 212 saksi berkaitan termasuk mangsa, saksi agensi luar antaranya Petronas dan MBSJ, pemaju serta kontraktor dan pakar-pakar bebas.
Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 8.10 pagi, 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter di lokasi kejadian. – TVS