LONDON, 30 Jun: Chelsea bersetuju untuk menandatangani penyerang Brighton & Hove Albion, Joao Pedro dengan nilai dilaporkan £60 juta (US$82 juta), menurut agensi berita PA.
Difahamkan, pemain berusia 23 tahun itu juga telah bersetuju dengan kontrak tujuh tahun bersama The Blues dan berkemungkinan akan beraksi dalam Piala Dunia Kelab yang sedang berlangsung selepas terbang dari Brazil ke Amerika Syarikat untuk menjalani pemeriksaan perubatan.
Pedro dijangka dapat membuat penampilan sulung bersama Chelsea dalam perlawanan suku akhir menentang Palmeiras di Philadelphia pada Jumaat ini.
Pemain Brazil itu, yang akan menjadi pemain keenam ditandatangani Chelsea pada musim panas ini, menjaringkan 10 gol dalam 30 penampilan dalam semua pertandingan bersama Brighton musim lepas.
Secara keseluruhan, beliau telah menjaringkan 30 gol dan mencatatkan 10 bantuan jaringan dalam 70 penampilan bersama pasukan The Seagulls.
Newcastle dilaporkan telah membuat tawaran £50 juta untuk mendapatkan penyerang itu minggu lepas tetapi ditolak.
Chelsea, yang menewaskan Benfica 4-1 selepas masa tambahan di Charlotte pada Sabtu malam untuk mara ke Piala Dunia Kelab, telah menandatangani pemain tengah Kendry Paez, penjaga gol Mike Penders, pemain sayap Estevao Willian, penyerang Liam Delap dan pemain pertahanan Mamadou Sarr sejak tamat musim lepas.
Mereka juga dilaporkan hampir melengkapkan pembelian pemain sayap Jamie Gittens daripada Borussia Dortmund dengan nilai £50 juta. – TVS