SIBU, 30 Jun: Penganugerahan akreditasi kepada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sebagai pusat latihan dan peperiksaan bertauliah dalam bidang sistem solar fotovoltaik (PV) diyakini akan membuka lebih banyak peluang kepada graduan untuk menceburi industri tenaga boleh diperbaharui.
Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi (SET) UTS, Dr. Samat Iderus berkata, akreditasi itu memberikan peluang besar kepada pelajar untuk melengkapkan diri dengan kemahiran praktikal yang diiktiraf industri dengan satu nilai tambah yang menjadikan graduan UTS lebih kompetitif dalam pasaran kerja.
Jelas beliau, pelajar akan mempunyai kelebihan, di mana mereka mungkin mendapat pengecualian untuk modul pertama dan akan mengikuti modul kompetensi yang kedua dan ketiga.
“Graduan UTS, khususnya dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi akan memiliki kelebihan berganda. Mereka bukan sahaja memperoleh ijazah, malah turut menerima sijil kompetensi. Ini memberikan nilai tambah yang sangat besar, berbanding graduan universiti lain dan itulah yang kita mahukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Entera Technology Academy (ETA) sebagai Pusat Latihan dan Peperiksaan untuk Rekabentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV) di UTS hari ini.
Tambahnya, inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama daripada badan latihan antarabangsa, Global Sustainable Energy Solutions (GSES) yang berpangkalan di Australia, sekali gus memberikan pengiktirafan bertaraf global kepada pensijilan yang ditawarkan.
“Ia bukan sahaja sah untuk Malaysia, malah turut diiktiraf bagi pasaran di negara jiran seperti Indonesia,” tambahnya.
Menurutnya lagi, kerjasama strategik bersama ETA merupakan langkah penting dalam memperkukuh sektor tenaga solar di Sarawak, di samping membuktikan komitmen UTS sebagai antara institusi TVET terunggul di Malaysia.
“ETA ialah entiti industri tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang solar, termasuk skim Net Energy Metering dan Self-Consumption (SELCO). Gabungan ini mengintegrasikan pengetahuan akademik dan pengalaman industri,” jelasnya.-TVS