KUCHING, 30 Jun: Kerajaan Sarawak terus komited mengiktiraf dan melindungi hak adat masyarakat Bumiputera ke atas tanah mereka, menerusi pelaksanaan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu yang telah bermula sejak 2010.
Menurut Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, program ini dilaksanakan dalam dua peringkat utama, iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), serta pengukuran lot individu dan pemberian surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18.
“Sejak Oktober 2010 hingga 31 Mei 2025, seluas 1,203,003 hektar atau 2,972,620 ekar tanah NCR telah diukur secara perimeter di bawah Peringkat Pertama program tersebut.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 935,760 hektar atau 2,312,263 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui peringkat kedua program itu pula, sejumlah 120,608 hektar atau 298,022 ekar tanah telah diukur secara lot individu melibatkan 101,271 lot dan sebanyak 32,530 surat hak milik tanah telah dikeluarkan setakat ini di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
JTS menjelaskan, pengukuran tanah hanya dijalankan selepas menerima permohonan daripada penuntut tanah NCR yang telah disemak dan disahkan mengikut undang-undang dan bukti sahih.
Dalam hal ini, kerjasama daripada penuntut tanah amat penting bagi memastikan proses pengukuran berjalan lancar.
Penuntut tanah perlu hadir semasa kerja lapangan, menanda sempadan dengan jelas dan memastikan tiada pertikaian atau pertindihan tuntutan.
Bagi memastikan semua pihak terlibat memahami proses pengukuran, kerajaan akan menganjurkan dua peringkat dialog iaitu dialog meja bulat dan dialog lapangan sebelum kerja pengukuran bermula.
“Ia bertujuan untuk menerangkan kepada penuntut tanah sempadan tanah yang akan diukur dan mendapatkan persetujuan kesemua penuntut tanah yang terlibat.
“Semua proses ini adalah bersifat telus (transparent) dalam memastikan kelancaran dan kejayaan pengukuran di lapangan,” ujar kenyataan itu.
Dalam kes tanah NCR yang sedang dalam proses mahkamah, penuntut diberi pilihan untuk menggugurkan kes terbabit dan mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai program pengukuran ini.
Berhubung dengan tanah NCR yang bertindih dengan pajakan sementara (Provisional Leases – PL), kerajaan Sarawak telah menetapkan bahawa kawasan tanah NCR yang sahih perlu diasingkan sebelum PL dikeluarkan.
“Bermula pada 24 Mac 2015, kerajaan telah memutuskan untuk tidak mempertimbangkan lagi permohonan tanah kerajaan untuk kegunaan perladangan komersil,” katanya.
Sementara itu, dalam usaha membangunkan infrastruktur awam, kerajaan Sarawak menegaskan bahawa pengambilan balik tanah adalah langkah yang tidak dapat dielakkan, namun tetap dibuat secara adil dan sah di sisi undang-undang.
Dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
Tiada undang-undang boleh memperuntukan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.
“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
“Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” katanya.