KUCHING, 29 Jun: Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) hari ini merasmikan pembukaan premis YKABarber dan Al Bait Coffee (ABC) di Riveredge Commercial Centre Kuching sebagai sebahagian usaha memperkasa komuniti asnaf menerusi pembangunan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.
Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi YKAB, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dalam satu majlis yang turut menyaksikan beberapa penyerahan simbolik termasuk zakat perniagaan kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), dan sumbangan Dana Program Indonesia Mustahil Lapar kepada Yayasan Indonesia Mustahil Miskin.
Menurut kenyataan YKAB, YKABarber merupakan kesinambungan kepada Kursus Kemahiran Asas Menggunting Rambut anjuran Akademi Latihan Insan (ALI) oleh TBS.
Peserta yang menunjukkan potensi diserap ke dalam projek YKABPRENEUR dan kini seramai enam usahawan asnaf (UAY) sedang menjalani latihan di bawah bimbingan penyelia profesional selama enam bulan.
“Servis menggunting rambut pertama kali diperkenalkan pada Ogos 2024 sempena Majma’ Merdeka Sales di Majma’ Mall dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.
Harga perkhidmatan ditawarkan mengikut kategori penggunting iaitu kategori trainee RM10 (kanak-kanak, pelajar, warga emas) dan RM15 (dewasa).
Manakala kategori senior barber menawarkan perkhidmatan pada RM15 dan RM20 selain beberapa perkhidmatan lain.
Di premis sama, turut diperkenalkan Rak YKABPRENEUR yang mengetengahkan produk keluaran UAY dan alumni Program ALI TBS.
Rak tersebut juga akan ditempatkan di Your Choice Cafe, Majma’ Mall dan Batu Kawa sebagai platform menjana pendapatan dan meluaskan pasaran produk usahawan asnaf.
Al Bait Coffee (ABC) pula menyediakan pelbagai pilihan minuman panas dan sejuk termasuk enam jenis kopi dan lima pilihan bukan kopi dengan harga serendah RM5.90.
Waktu operasi YKABarber adalah dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam manakala ABC dibuka lebih awal iaitu dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari.
Majlis turut menyaksikan gimik penyerahan kunci kepada operator YKABarber dan pemakaian tag nama kepada UAY selain tajaan servis gunting rambut percuma kepada 10 anak asnaf TBS dan pemberian kupon servis serta minuman percuma yang boleh ditebus sehingga 31 Julai 2025.
Turut hadir Ustaz K.H. Luqmanulhakim (Masjid Kapal Munzalan, Indonesia), Muhd Zairil Zaini (UDA Land Sarawak), Abdul Hafiz Zainalabidin (Pengurus YKAB) dan beberapa wakil agensi berkaitan.
Operasi YKABarber turut disokong oleh Sukarelawan YKAB (SYKAB) yang bertugas secara bergilir-gilir.
Orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh menghubungi talian 011-1667 8233 (Wirrmeezy).-TVS