KUCHING, 29 Jun: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee menegaskan bahawa bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) perlu dikekalkan sebagai fokus utama dalam sistem pendidikan tanpa penambahan elemen baharu.
Beliau berkongsi bagaimana negara seperti China berjaya menjadi kuasa besar industri dunia kerana memberi penekanan khusus terhadap bidang STEM, terutama dalam melahirkan ramai jurutera dan saintis.
“China menetapkan sasaran untuk melahirkan 500,000 jurutera dalam masa 10 hingga 20 tahun dan semua pelajar kejuruteraan dikehendaki mengajar pelajar luar bandar Matematik dan Sains.
“Hasilnya, negara itu kini menjadi kuasa industri yang sukar disaingi, jadi kita perlu tanam asas STEM dari peringkat awal supaya rakyat kita mampu cipta inovasi dan produk yang bukan sahaja bermanfaat kepada manusia, tetapi juga boleh dikomersialkan,” katanya ketika berucap pada Kejohanan Inovasi dan Kreativiti Borneo Antarabangsa, BIICC 2025 di sini, malam tadi.
Beliau turut menyifatkan penganjuran BIICC di Sarawak sebagai satu penghormatan dan percaya platform seumpama itu mampu menyemai minat generasi muda terhadap inovasi dan kreativiti.
Beliau juga menegaskan, kemenangan bukan matlamat utama pertandingan tersebut, sebaliknya pertukaran idea serta usaha melahirkan produk inovatif yang boleh memberi impak besar kepada negara.-TVS