Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pihak Berkuasa Kewangan Palestin pada Sabtu menggesa campur tangan antarabangsa bagi menyelesaikan krisis kesesakan atau lambakan mata wang shekel Israel di bank-bank yang beroperasi di wilayah Palestin, sambil memberi amaran mengenai kesan ekonomi dan perbankan yang boleh mengancam kestabilan sistem kewangan, lapor Anadolu Ajansi. Foto AFP

Pihak Berkuasa Palestin desak atasi krisis lambakan shekel Israel

ByBernama

RAMALLAH/ISTANBUL, 29 Jun:  Pihak Berkuasa Kewangan Palestin pada Sabtu menggesa campur tangan antarabangsa bagi menyelesaikan krisis kesesakan atau lambakan mata wang shekel Israel di bank-bank yang beroperasi di wilayah Palestin, sambil memberi amaran mengenai kesan ekonomi dan perbankan yang boleh mengancam kestabilan sistem kewangan, lapor Anadolu Ajansi.

Gesaan itu dibuat semasa pertemuan antara Gabenor Pihak Berkuasa Kewangan Palestin Yahya Shinar dengan Konsul Besar Britain Helen Winterton di ibu pejabat pihak berkuasa itu di Tebing Barat.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa itu berkata mesyuarat itu membincangkan “krisis lambakan shekel di bank-bank yang beroperasi di Palestin dan kesannya terhadap keadaan ekonomi serta perbankan,” selain kesan kecairan tunai terhadap keupayaan bank untuk memenuhi keperluan rakyat dan sektor ekonomi, khususnya sektor perdagangan.

Shinar menjelaskan bahawa pihaknya telah mengambil langkah bagi memastikan perkhidmatan perbankan asas dapat diteruskan, sambil menekankan kepentingan campur tangan masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel mematuhi perjanjian sedia ada berhubung pengurusan lebihan shekel.

Winterton pula mengesahkan sokongan kerajaan Britain terhadap usaha Palestin untuk memperkukuh kestabilan kewangan, sambil menekankan kepentingan penyelarasan antarabangsa dalam menangani cabaran ekonomi yang semakin meningkat.

Tebing Barat menyaksikan krisis lambakan shekel yang semakin buruk sejak beberapa minggu lalu, mendorong bank menghentikan penerimaan deposit tunai dalam mata wang itu sebelum Pihak Berkuasa Kewangan campur tangan dengan menetapkan had deposit dan menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran elektronik.

Pihak Berkuasa Kewangan Palestin menyatakan bahawa Israel enggan memenuhi permintaan untuk memindahkan lebihan shekel dari bank-bank Palestin ke bank-bank Israel, dengan mengenakan sekatan dan had yang tidak memenuhi keperluan pembiayaan serta pelaksanaan operasi perdagangan oleh bank-bank Palestin.

Sebelum tercetusnya konflik Israel di Semenanjung Gaza pada 7 Okt 2023, Pihak Berkuasa Kewangan Palestin berkoordinasi dengan bank-bank Israel untuk memindahkan lebihan tunai secara suku tahunan, melibatkan kira-kira 4 bilion shekel (US$1.16 bilion).

Menurut Persatuan Bank di Palestin, sebuah organisasi bukan kerajaan, “berbilion-bilion shekel” kini bertimbun di bilik kebal bank-bank yang beroperasi di Palestin.

Di bawah Protokol Paris mengenai Hubungan Ekonomi antara kerajaan Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin yang ditandatangani pada 1994, shekel merupakan mata wang utama yang digunakan di Palestin untuk pembayaran dan pembelian barangan serta perkhidmatan.

Eksport Palestin ke Israel merangkumi kira-kira 85 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, manakala import dari pasaran Israel merangkumi sekitar 55 peratus termasuk elektrik, air, minyak dan makanan.

Sebahagian besar operasi perdagangan dijalankan dalam mata wang shekel, dengan purata tahunan transaksi perbankan dianggarkan sekitar 50 bilion shekel, menurut Pihak Berkuasa Kewangan Palestin.

Kadar pertukaran semasa dolar Amerika Syarikat ialah kira-kira 3.45 shekel, berdasarkan purata harga rasmi yang diguna pakai.

Terdapat 13 bank tempatan dan asing yang beroperasi di pasaran Palestin, termasuk tujuh bank tempatan dan enam bank asing yang terdiri daripada lima bank Jordan dan sebuah bank Mesir.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan