Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng berucap di Program Makan Malam serta Ngiling Bidai Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkelili, Lubok Antu, Skrang (PELASAR) 2025 di Penview Convention Centre (PCC) Demak di Kuching malam tadi. Foto TVS

Ngiling Bidai PELASAR 2025 serlah semangat perpaduan

KUCHING, 29 Jun: Sambutan penutupan Hari Gawai ataupun ‘Ngiling Bidai’ anjuran Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkelili, Lubok Antu, Skrang (PELASAR)  berlangsung dalam suasana meriah  di Penview Convention Centre (PCC) Demak di sini, malam tadi.

Majlis ini bertujuan meraikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat asal Engkilili, Lubok Antu, dan Skrang, serta melestarikan adat dan budaya Dayak melalui upacara Ngiling Bidai iaitu simbolik penutupan musim menuai.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sebagai sebuah wilayah yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik berbeza amat penting untuk Sarawak mengekalkan perpaduan dan solidariti, bergerak selangkah serta memupuk persefahaman bersama tanpa mengira budaya dan agama untuk memacu pembangunan negeri.

“Saya ingin berpesan kepada generasi muda janganlah malu dengan budaya dan janganlah  lupa dengan adat sebaliknya banggalah sebagai anak Sarawak.

“Gunakan ilmu untuk memimpin dan gunakan akar budaya untuk berpijak kukuh kerana jika kita menjaga budaya kita dan jika kita bersatu sebagai rakyat Sarawak dan jika kita terus menyokong pembangunan yang inklusif Sarawak akan jadi wilayah contoh untuk seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap pada Program Makan Malam serta Ngiling Bidai PELASAR 2025.

Teks ucapan beliau dibaca Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng yang mewakilinya di majlis itu.

Katanya, beliau berbangga melihat usaha PELASAR dalam menganjurkan acara ini yang turut menjadi platform bagi masyarakat Dayak mengingati, menghormati dan menjaga asal-usul serta warisan sebagai seorang dayak walaupun sibuk dengan tugas-tugas dalam pekerjaan atau persekolahan.

Ujarnya lagi, PELASAR perlu terus memainkan peranan penting sebagai jambatan antara generasi muda dan tua untuk memperkasa anak muda termasuk bertindak sebagai benteng dalam mempertahankan budaya Dayak dalam perkembangan arus dunia yang semakin moden.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi berkata, potensi untuk bergerak lebih jauh dan meluas boleh dicapai sekiranya PELASAR bersedia untuk berubah maju kehadapan dengan misi yang lebih jelas.

“Saya melihat PELASAR ini boleh pergi lebih jauh lagi jika hala tuju kita semua diperbetul dan tujuan persatuan ini kuat saya percaya bukan setakat wakil rakyat dari dari kawasan Lubok Antu sahaja bahkan wakil rakyat daripada Batang Ai dan Engkelili boleh turut sama menolong kita.

“Bukan itu saja wakil-wakil rakyat dari kawasan lain pun boleh sama menolong PELASAR sebab saudara-saudara kita yang lain turut bekerja di banyak kawasan lain seperti di Kuching, Miri, Bintulu, Sibu dan banyak lagi kawasan lain dan mereka juga turut sama boleh membantu kita dari segi dana jika tujuan kita betul dan hala tuju kita betul termasuk memastikan persatuan ini lebih kuat,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada PELASAR sebagai dana tambahan untuk melaksanakan lebih banyak kegiatan terutama dalam menjaga kebajikan anak-anak perantau daripada Engkilili, Lubok Antu dan Skrang.-TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan