NEW YORK, 29 Jun: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengadakan sesi terbuka pada Isnin bagi membincangkan situasi di Timur Tengah, dengan fokus khusus kepada isu Palestin.
Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan bahawa Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Timur Tengah, Asia dan Pasifik, Mohamed Khaled Khiari dijangka memberikan taklimat kepada anggota Majlis berhubung laporan suku tahunan terkini oleh Setiausaha Agung PBB mengenai pelaksanaan Resolusi 2334.
Resolusi 2334 yang diterima pakai pada 23 Dis 2016 menuntut Israel segera menghentikan semua aktiviti penempatan di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.
Selepas taklimat terbuka itu, Majlis Keselamatan akan mengadakan sesi perbincangan tertutup pada hari sama untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.-TVS