Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 1447H/2025M anjuran LAKMNS. Foto TVS

LAKMNS serlah gaya baharu sambut Maal Hijrah

KUCHING, 29 Jun: Festival Maal Hijrah 1447H/2025M anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) yang berlangsung selama 10 hari sejak 20 Jun lalu melabuhkan tirainya hari ini di Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Penganjuran festival tersebut mencerminkan komitmen berterusan LAKMNS dalam menyemarakkan sambutan tahun baharu hijrah menerusi pelbagai program keagamaan, kemasyarakatan serta sukan dan rekreasi selari dengan semangat hijrah yang menekankan perubahan menyeluruh dari segi rohani dan sosial.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyifatkan festival tersebut sebagai platform penting memperkukuh ukhuwah antara institusi masjid dan masyarakat pelbagai lapisan.

“Festival ini membuktikan LAKMNS berada di barisan hadapan dalam usaha memodenkan pengurusan masjid dan menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan rohani serta sosial yang inklusif.

“Contohnya pagi tadi, kita lihat kehadiran Big Bikers Club di perkarangan masjid, ia sesuatu yang julung kali berlaku dan menunjukkan keterbukaan pendekatan LAKMNS,” katanya.

Menurutnya, pendekatan dinamik dan inovatif tersebut selari dengan cabaran semasa serta keperluan ummah yang semakin kompleks, memperlihatkan kebijaksanaan LAKMNS dalam mengimbangi tuntutan rohani dan realiti semasa.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam di Sarawak untuk terus menyokong program-program masjid dan menjadikan LAKMNS sebagai nadi pembangunan ummah dan medan pembentukan generasi rabbani yang seimbang dari segi intelek dan spiritual.

Festival yang berlangsung selama 10 hari itu menyajikan lebih 30 acara pelbagai bentuk termasuk aktiviti keagamaan, pameran ketenteraan dan agensi beruniform, pemeriksaan kesihatan, jualan makanan serta pertandingan sukan tradisional dan moden.

Antara acara utama ialah Forum Bicara Wanita Ilmiah (BIWANI), Malam Cinta Rasul, pertandingan badminton, boling, pickleball, silat, berzanji/marhaban, street soccer serta Jualan Rahmah KPDN pada 28 dan 29 Jun.

Kemuncak festival diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama seperti dua pakej umrah, sebuah motosikal, kerusi urut dan televisyen 60 inci.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan