SEOUL, 29 Jun: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung mencalonkan birokrat berpengalaman Koo Yun-cheol sebagai Menteri Kewangan yang baharu pada Ahad, sebagai sebahagian daripada pelantikan beliau bagi enam jawatan Kabinet, menurut Pejabat Presiden, lapor Agensi Berita Yonhap.
Koo, bekas Naib Menteri Kewangan, pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di kementerian itu.
Lee turut menamakan Ahli Parlimen lima penggal Jeong Seong-ho sebagai Menteri Kehakiman yang baharu, manakala seorang lagi Ahli Parlimen lima penggal Yun Ho-jung dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri yang baharu.
Sementara itu, Presiden Doosan Enerbility Kim Jung-kwan dicalonkan sebagai Menteri Industri, bekas Presiden Universiti Nasional Chungnam Lee Jin-sook dinamakan sebagai Menteri Pendidikan dan bekas Pesuruhjaya Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Jeong Eun-kyeong, dinamakan sebagai Menteri Kesihatan.
Sebagai sebahagian daripada pengumuman itu, bekas Pendakwa Raya Bong Wook dilantik sebagai Setiausaha Kanan Presiden bagi Hal Ehwal Awam, manakala Jeon Seong-hwan, yang berpengalaman dalam perkhidmatan awam dan kumpulan sivik, dilantik sebagai Setiausaha Kanan Presiden bagi Libat Urus Awam dan Perpaduan Sosial.-TVS