LIMBANG, 29 Jun: Impian Sarawak untuk memiliki kilang pemprosesan keju sendiri bakal direalisasikan apabila fasiliti tersebut dijangka mula beroperasi sekitar Ogos atau September tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, proses terakhir yang sedang ditunggu ialah ketibaan mesin pemprosesan keju.
“Kilang pemprosesan keju berasaskan susu kerbau di Stesen Pembiakan Kerbau Meragang kini siap sepenuhnya. Ia akan memproses keju jenis mozzarella dan dijangka beroperasi selepas mesin tiba, sama ada pada Ogos atau September,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Malam Pementasan dan Kebudayaan Kedua sempena Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2025 di sini, malam tadi.
Menurutnya, cabaran utama ketika ini ialah bekalan susu yang masih rendah kerana kerbau sawah tempatan menghasilkan susu dalam jumlah kecil.
“Oleh itu, kita sedang beralih kepada baka kerbau pengeluar susu tinggi iaitu kerbau Murrah. Namanya Murrah bukan murah,” ujarnya.
Setakat ini, sebanyak 245 ekor kerbau Murrah ditempatkan di Stesen Pembiakan Kerbau Meragang dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 800 ekor menjelang hujung tahun ini.
Dr. Abdul Rahman menjelaskan, kementeriannya juga sedang melaksanakan skim penggantian kerbau sawah kepada kerbau Murrah bagi penternak di Limbang dan Lawas meningkatkan hasil serta produktiviti.
“Inisiatif ini mampu meningkatkan pendapatan penternak menerusi penjualan susu, daging serta hasil sampingan seperti baja,” jelasnya.-TVS