TENOM, 29 Jun: Lima individu termasuk dua kanak-kanak cedera selepas sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Lama berhampiran Fatt Choi Cabin, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom dikerahkan ke lokasi kejadian kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kenderaan berkenaan terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung. Dua kanak-kanak yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan kami,” katanya.
Tiga lagi mangsa wanita berusia antara 38 hingga 55 tahun turut mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal di lokasi kejadian oleh anggota bomba.
Pasukan penyelamat turut menjalankan pemeriksaan keselamatan di sekitar kawasan nahas bagi memastikan tiada risiko susulan sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.53 pagi.-TVS