SHAH ALAM, 29 Jun: Kerajaan akan meningkatkan peruntukan insentif kewangan bagi Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Biodiversiti (EFT) kepada RM250 juta tahun ini berbanding RM200 juta pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata peningkatan itu adalah antara inisiatif kerajaan bagi memperhebat usaha pemuliharaan biodiversiti dan hutan negara.
“Insentif ini dapat membantu kerajaan negeri untuk mengenal pasti dan melaksanakan projek-projek yang berimpak tinggi untuk tujuan konservasi selaras dengan enam skop pelaksanaan projek EFT bagi melindungi kawasan hutan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri,” katanya.
Huang berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Jelas beliau, usaha itu juga antara komitmen kerajaan untuk mengekalkan 50 peratus daripada keluasan tanah negara diliputi pokok dan kawasan hutan.
Menurutnya, keluasan kawasan perhutanan negara ketika ini adalah 17.96 juta hektar bersamaan 54.31 peratus daripada keluasan tanah negara.
Setiap negeri turut disaran untuk mengguna pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dalam kadar segera sebagai enakmen perhutanan negeri masing-masing.
“Sehingga kini hanya Wilayah Persekutuan dan Negeri Perlis Sahaja yang telah menerima pakai keseluruhan pindaan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang tersebut, manakala negeri lain berusaha ke arah yang sama,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga katanya menggiatkan usaha bagi mewartakan kawasan perhutanan lain sebagai hutan simpan kekal, hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sepenuhnya, serta kawasan cadangan hutan simpan kekal khususnya dalam kawasan sensitif alam sekitar. – TVS