Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu menunjukkan contoh rupa bentuk bot membawa muatan 15 penumpang yang terbalik di Pulau Perhentian menyebabkan tiga orang mati lemas dan seorang kritikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hari ini. Foto Bernama.

Bot terbalik di Pulau Perhentian: APMM jalankan siasatan menyeluruh

ByBernama

KUALA BERANG, 29 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian, Besut malam tadi, yang meragut tiga nyawa termasuk dua beranak.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata meskipun insiden itu dikatakan berlaku apabila bot yang dinaiki 15 penumpang itu dipukul ribut, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci termasuk perlesenan bot, muatan yang dibawa serta memastikan semua peraturan dipatuhi.

“Kita akan melaksanakan siasatan terperinci dalam pelbagai aspek, termasuk menghubungi mangsa terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia 2025 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mohd Rosli menambah pihaknya sentiasa menggandakan kawalan dan penguatkuasaan apatah lagi aktiviti pelancongan di pantai dan laut ketika ini semakin rancak selepas berakhirnya musim Monsun Timur Laut.

Dalam kejadian yang berlaku pada 10.30 malam tadi, S. Arumugam, 40, dan anaknya, A. Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V. Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa masih dirawat di hospital termasuk seorang kritikal dan 10 lagi terselamat.

Kesemua penumpang bot berusia 40 hingga tiga tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata pihaknya bersama APMM dan Jabatan Laut Malaysia sentiasa bekerjasama memastikan penguatkuasaan undang-undang termasuk dalam kalangan pengusaha bot pelancong.

Beliau juga mengingatkan semua pengusaha bot untuk memastikan pemandu bot mereka tidak terlibat dalam apa-apa jenayah terutama berkaitan dadah.

“Hal ini kerana berdasarkan siasatan pemandu bot berusia 20-an itu mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Jadi, PDRM dan agensi lain akan sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sama. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan