SARATOK, 29 Jun: Sambutan Hari Sarawak Peringkat Daerah Saratok yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini bakal diserikan dengan kehadiran Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) sekali gus menambah kemeriahan acara tahunan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, perbincangan mengenai penglibatan 9 Briged diadakan semasa kunjungan hormat beliau ke markas briged tersebut di Sibu baru-baru ini.
Kunjungan itu turut disertai Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Sarawak, Sahari Gani.
“Alhamdulillah, baru-baru ini saya bersama PVATM Cawangan Saratok yang diketuai Pemanca Sahari mengadakan kunjungan hormat kepada Panglima 9 Briged, Brigadier Jeneral Jafri Sulaiman.
“Perbincangan kami memfokuskan kepada penglibatan 9 Briged dalam sambutan Hari Sarawak peringkat daerah di Saratok dan maklum balas yang diterima amat positif,” katanya kepada TVS hari ini.
Mohamad berharap kehadiran 9 Briged akan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat sempena sambutan tersebut.
“Ini juga menjadi platform untuk mengenang jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu yang mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen PVATM Cawangan Saratok yang sentiasa aktif menjalankan pelbagai program dan aktiviti kebajikan demi manfaat ahli serta keluarga mereka.
Sambutan Hari Sarawak Peringkat Daerah Saratok merupakan program tahunan anjuran Pusat Khidmat ADUN Kalaka, PVATM Cawangan Saratok dan Pejabat Daerah Saratok.-TVS