Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebanyak 64 peratus syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang diaudit dalam Ops Khas Garis Panduan Sistem Audit Keselamatan (JISA) dikenal pasti gagal mematuhi perkara-perkara mandatori di bawah JISA, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli. Foto fail Bernama.

64 peratus syarikat pengendali kenderaan perdagangan gagal patuhi JISA

ByBernama

KOTA BHARU, 29 Jun: Sebanyak 64 peratus syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang diaudit dalam Ops Khas Garis Panduan Sistem Audit Keselamatan (JISA) dikenal pasti gagal mematuhi perkara-perkara mandatori di bawah JISA, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata Ops Khas JISA yang bermula pada 23 Jun lepas dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara melibatkan pengauditan ke atas 133 syarikat pengendali kenderaan perdagangan.

“Daripada jumlah itu, 85 syarikat didapati gagal mematuhi garis panduan JISA, manakala hanya 48 syarikat lulus audit berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Setia Khas JPJ di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata pecahan syarikat yang gagal melibatkan 43 syarikat pengendali lori dan 42 syarikat bas persiaran serta bas ekspres.

Beliau berkata antara ketidakpatuhan utama yang dikesan termasuk kegagalan melantik pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tiada pemasangan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada semua kenderaan serta kegagalan membuat pemantauan GPS secara berkala.

Menurut Aedy Fadly, banyak syarikat juga tidak merekodkan syarat pemanduan kurang lapan jam sehari serta rehat 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan.

“Terdapat juga syarikat yang tidak menyediakan pelan tindakan keselamatan dan gagal memaparkan nombor talian penting serta nama pegawai bertanggungjawab pada kenderaan bagi tujuan aduan.

“JPJ akan menyerahkan senarai syarikat yang gagal dalam audit JISA kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut termasuk cadangan penggantungan atau pembatalan lesen pengendalian syarikat berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata JPJ tidak berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melanggar peraturan serta mengabaikan aspek keselamatan.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan