MULU, 29 Jun: Sebanyak 10 pengamal media tempatan dari pelbagai agensi menyertai ekspedisi sulung anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) ke Gunung Api, Taman Negara Mulu bermula hari ini.
Ekspedisi empat hari tiga malam itu diadakan sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai, sebagai inisiatif untuk mengetengahkan keunikan produk pelancongan negeri, khususnya tapak warisan dunia UNESCO berkenaan.
Presiden KDJA Ronnie Teo berkata ekspedisi berkenaan lanjutan kepada projek pendakian tahunan persatuan itu yang bermula sejak 2018 di Gunung Kinabalu dan mencerminkan sokongan berterusan Premier Sarawak dalam menggalakkan golongan media untuk mencabar diri di luar kerjaya.
“Tahun ini, sempena edisi kelima, kami memilih untuk membawa cabaran itu ke Mulu Pinnacles khusus buat ahli-ahli KDJA.
“Kami juga berharap dapat meneruskan kerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam menganjurkan projek Kinabalu dan Mulu ini pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara pengamal media yang terlibat termasuk daripada The Borneo Post, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Dayak Daily, Suara Sarawak, CatsFM, See Hua dan TVS.
Ekspedisi akan bermula dengan lawatan ke Gua Rusa dan Gua Lang di Taman Negara Mulu pada hari pertama, sebelum peserta memulakan pendakian sejauh kira-kira sembilan kilometer dari Long Litut ke Kem 5 pada hari kedua.
Hari ketiga merupakan kemuncak ekspedisi, pendakian mencabar ke puncak formasi batu kapur tajam, iaitu Pinnacle Mulu, manakala hari keempat melibatkan perjalanan pulang ke Long Litut dan seterusnya kembali ke Kuching.
Program berkenaan turut disokong oleh kerajaan Sarawak, selaras dengan usaha Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkasakan promosi kawasan pelancongan negeri sempena Hari Sarawak. – TVS