SARIKEI, 28 Jun: Seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 431 Lebuh Raya Pan Borneo laluan Betong-Sarikei-Meradong kira-kira jam 2.00 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Sarikei menuju ke Sungai Rusa sebelum secara tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan tanpa memberi sebarang isyarat.
“Pada masa sama, sebuah kereta dipandu wanita berusia 30 tahun dari arah Kuching menuju ke Sibu sedang bergerak lurus di lorong kanan. Pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat perlanggaran itu, kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala motosikal mangsa rosak di bahagian belakang dan tepi kanan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sarikei pada jam 2.20 petang manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Pihak polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Sarikei atau Pegawai Penyiasat Trafik Insp/P Ahmad Mustaqim di talian 084-652222 sambungan 279.-TVS