KUCHING, 28 Jun: Karnival Gawai Tematu dan Bitanding Dayung Gawea Tematu kini dikenali sebagai Tematu Ethno Fest 2025, hasil penjenamaan semula selepas 10 tahun penganjuran untuk memperkukuh pemeliharaan budaya dan perpaduan masyarakat Bidayuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato’ Lo Khere Chiang, berkata penjenamaan ini menjadikan program lebih inklusif dan relevan dengan aspirasi komuniti.
Beliau turut memuji peningkatan kualiti dan kepelbagaian aktiviti yang diadakan sepanjang festival.
“Saya juga difahamkan pada tahun ini terdapat pelbagai aktiviti lain yang diadakan sepanjang karnival ini berlangsung antaranya pameran dari agensi kerajaan, program derma darah, pemeriksaan gigi percuma, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna dan kuiz untuk kanak-kanak
“Semoga dengan adanya pengisian aktiviti-aktiviti ini kita dapat memeriahkan lagi penganjuran Karnival Gawai Tematu atau Tematu Ethno Fest pada tahun ini,”
Khere Chiang berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada program itu yang berlangsung pada malam Jumaat.
Ujarnya lagi, program tahunan yang diadakan bersempena Perayaan Gawai itu juga dilihat berjaya mengeratkan silaturahim dikalangan penduduk berbangsa Bidayuh khasnya yang menganut pelbagai agama menerusi kerjasama dan penglibatan didalam penganjuran program selaku urusetia mahupun peserta.
Tumpuan utama Tematu Ethno Fest 2025 terarah kepada Pertandingan Ratu Cantik dimana dua darinya berlangsung pada malam Jumaat iaitu Sindok Gawea Tematu 2025 (SGT25) dan Onak Dayung Gawea Tematu 2025 (ODGT25) manakala satu lagi iaitu Dayung Gawea Tematu 2025 (DGT25) akan berlangsung pada malam Sabtu-TVS