TAWAU, 28 Jun: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun di Balai Polis Bandar Sri Indah selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan jual beli dalam talian melibatkan kerugian sekitar RM13,000.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, mangsa yang berasal dari Kuala Penyu mendakwa tertarik dengan iklan penjualan komputer riba dan tablet yang dimuat naik di laman sosial Facebook sekitar tahun 2023.
“Mangsa kemudian berhubung dengan ‘penjual’ melalui aplikasi Telegram dan membuat enam transaksi pembayaran seperti yang diminta. Namun, tiada barangan diterima dan mangsa menyedari telah ditipu sebelum membuat laporan polis,” menurut kenyataan tersebut.
Hasil siasatan menggunakan sistem Mobile Criminal Analytical Database (MCAD) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan suspek mempunyai kaitan dengan kes yang dilaporkan di Kuala Penyu.
Suspek kini dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Polis turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika menjalankan urus niaga atas talian serta membuat semakan latar belakang penjual bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.-TVS