KUCHING, 28 Jun: Mangsa serangan buaya, Jacob Tuan sempat melaungkan kata-kata terakhir menyebut nama ‘Bapak’ sebelum diseret reptilia ganas itu ke dasar air.
Dalam kejadian berlaku sekitar jam 10 malam tadi, mangsa berusia 32 tahun sedang memancing bersama bapa mentuanya dikenali Pak Eddie.
Menurut bapa mentuanya, buaya tiba-tiba muncul dan menyambar menantunya.
“Hanya kata-kata terakhir mangsa menjerit melaungkan nama ‘Bapak’ kedengaran sebelum ditarik buaya ganas itu,” katanya.
Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang memancing ikan
Ketika kejadian mangsa sedang memancing ikan di sungai Jalan Matang-Kampung Paroh menuju Taman Sri Matang di tebing sungai yang berada dalam anggaran 200 meter dari jalan raya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pihak bomba yang dilancarkan malam tadi sukar dilakukan disebabkan jalan menuju ke lokasi kejadian melalui semak-samun serta gelap dan ditangguhkan pada jam 12.30 pagi.
Komander Operasi, Muhammad Fazly Ibrahim berkata, operasi SAR hari kedua hari ini diteruskan jam 8 pagi ini membabitkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan empat anggota PBB SWAT Telaga Air.
“Operasi SAR dijalankan dengan kaedah pencarian di permukaan air dalam radius 300 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri dibaham buaya,” katanya.-TVS