LIMBANG, 28 Jun: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM6 juta kepada Sarawak Bisaya Charitable Trust bagi memperkasa penglibatan masyarakat dalam bidang pemeliharaan kerbau khususnya di Limbang dan Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, geran tersebut bertujuan menyokong hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab pengeluaran kerbau utama di Sarawak.
“Ini satu langkah yang baik kerana Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menjadikan Limbang dan Lawas sebagai kawasan pengeluaran kerbau. Dengan penglibatan masyarakat, kita yakin matlamat ini dapat dicapai,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian kepada media selepas mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Nakod Babulang dan Lumba Kerbau 2025 di Kampung Batu Danau, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan dan pengalaman Sarawak Bisaya Charitable Trust dalam menyusun pelaksanaan program tersebut sejajar dengan usaha merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan pesta kebudayaan seperti Pesta Babulang dan Lumba Kerbau sebagai platform untuk mempromosikan sektor pelancongan, memanfaatkan keunikan budaya masyarakat serta keindahan alam semula jadi yang terdapat di Limbang dan Lawas.
“Kepelbagaian budaya dan kekayaan sumber semula jadi di sini adalah aset penting untuk pelancongan Sarawak,” ujarnya.-TVS