DEBAK, 28 Jun: Projek pembinaan Masjid Baharu Daerah Debak yang menelan belanja keseluruhan RM14 juta kini berada di landasan tepat dan dijangka siap lebih awal daripada jadual iaitu pada bulan Ogos depan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, keyakinan itu berdasarkan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pihak kontraktor.
“Alhamdulillah, hari ini kita bersama konsultan dan kontraktor dalam satu sesi taklimat perkembangan projek melibatkan fasa pertama dan perancangan fasa kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ringkas Pemasangan Kubah Masjid Baharu Daerah Debak di sini, hari ini.
Menurutnya, pemasangan kubah yang dilaksanakan menandakan fasa pertama hampir selesai sekali gus memberi petunjuk keseluruhan projek boleh disiapkan seawal Ogos berbanding sasaran asal pada September.
Dalam pada itu, Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas memaklumkan, pihaknya bersetuju dengan penambahan kos RM2 juta bagi pembinaan empat menara yang akan menjadi pelengkap kepada masjid tersebut.
“Kita berbincang dan bersetuju dengan reka bentuk yang dicadangkan bagi pembinaan empat menara baharu. Dengan tambahan ini, kos keseluruhan projek meningkat kepada RM14 juta,” ujarnya.
Masjid berkenaan yang terletak di Jalan Suri–Debak dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak.
Projek tersebut dilaksanakan oleh BLM Engineering & Services Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama dengan tarikh pemilikan tapak bermula pada 20 Disember 2023.-TVS