KOTA SAMARAHAN, 28 Jun: Projek lampu jalan kampung yang dilaksanakan sejak tahun 2002 melibatkan lapan fasa kini siap sepenuhnya dengan 57,000 unit lampu dipasang di 6,500 kampung seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek itu merupakan usaha bersama Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang dan Kerajaan Sarawak melalui kementerian beliau dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai pelaksana projek.
“Ini bukan hanya simbolik kepada kejayaan projek tetapi mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua kerajaan dalam memastikan kemudahan asas seperti lampu jalan disediakan kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Lampu Jalan Kampung Fasa 8 di Dewan Serbaguna Kampung Merdang Lumut, hari ini.
Julaihi menjelaskan, pemasangan lampu jalan bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk kampung dan rumah panjang tetapi menyumbang kepada aspek keselamatan, kesejahteraan serta merangsang aktiviti ekonomi.
Pada masa sama, beliau turut menggesa SEB agar meneliti semula lokasi pemasangan lampu khususnya di simpang masuk ke kampung bagi memastikan pencahayaan mencukupi dan tidak mengelirukan pengguna jalan pada waktu malam.
“Pencahayaan di simpang masuk sangat penting bagi mengelakkan kekeliruan dan meningkatkan keselamatan,” ujarnya.
Julaihi turut mengumumkan fasa sembilan projek itu akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) melibatkan pemasangan tambahan 16,400 unit lampu di kawasan luar bandar dengan kos keseluruhan RM47 juta.-TVS