LIMBANG, 28 Jun: Pesta Babulang terus menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor pelancongan, bukan sahaja di Limbang, malah turut memberi impak di peringkat wilayah dan kebangsaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keunikan pesta ini, khususnya acara ikonik seperti lumba kerbau, menjadi daya tarikan istimewa yang berpotensi mengangkat Limbang sebagai destinasi pelancongan budaya terkemuka di negeri ini.
“Keunikan penganjuran termasuk termasuk acara ikonik seperti lumba kerbau, merupakan tarikan istimewa yang berpotensi menjadikan Limbang sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan budaya yang terkemuka, selaras dengan hala tuju pembangunan pelancongan Sarawak.
“Pesta ini turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan melalui pelbagai aktiviti seperti gerai jualan, pameran produk tempatan, penyertaan dalam pertandiingan serta perkhidmatan sokongan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang di Malam Pementasan dan Kebudayaan sempena Pesta Babulang dan Lumba Kerbau ke-20 di sini malam semalam.
Tambah beliau lagi, ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah menggalakkan penyertaan aktif golongan usahawan dan belia tempatan dalam kegiatan ekonomi berasaskan budaya.
Bukan sahaja berfungsi sebagai wadah untuk meneruskan dan memartabatkan adat, budaya dan tradisi masyarakat Bisaya yang kaya dengan nilai-nilai murni serta warisan sejarah yang unik, pesta ini juga dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan antara kaum.
Sebagai tanda sokongan kepada penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau yang sudah memasuki edisi ke-20, Awang Tengah turut mengumumkan sumbangan geran berjumlah RM30,000 dan beliau berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Pesta Babulang dan Lumba Kerbau tahun 2025 berlangsung dari 27 hingga 29 Jun 2025 di Kampung Batu Danau Limbang. – TVS