KOTA SAMARAHAN, 28 Jun: Seramai 218 pegawai kanan dan pegawai rendah polis menjalani Latihan Tembak Tahunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan bertempat di Lapang Sasar Pusat Latihan Polis Kuching (PULAPOL) baru-baru ini.
Latihan itu turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William yang turut menyertai sesi tembakan sebagai tanda sokongan dan galakan kepada warga IPD.
Menurut kenyataan IPD Kota Samarahan, latihan menggunakan pistol CZ P10 C 9mm ini bertujuan meningkatkan kecekapan menembak, keyakinan diri dan pematuhan kepada prosedur keselamatan senjata api.
Acara dikendalikan oleh Sarjan Gerunsin Galayan (BSJD) bersama urusetia, dengan penekanan kepada disiplin dan tatacara penggunaan senjata yang betul.
Secara keseluruhannya, LDP ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu memperkukuh tahap profesionalisme serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga IPD Kota Samarahan dalam pengendalian senjata api secara selamat dan berkesan.-TVS