KUCHING, 28 Jun: Pembinaan masjid bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan ibadat umat Islam tetapi berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti yang menekankan nilai saling hormat-menghormati.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, setiap masjid memerlukan prasarana iklusif dan mesra pengguna.
“Masjid bukan sekadar tempat solat tetapi asas perpaduan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Maal Hijrah Peringkat DUN Pantai Damai di Surau Al-Midani, PPR Petra Jaya malam tadi.
Ceramah anjuran PBB Cawangan Pantai Damai dan Pusat Khidmat ADUN Pantai Damai itu disampaikan oleh Ustaz Suharman Edward.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, antara ciri penting yang diperlukan untuk pembangunan masjid termasuk ruang solat yang luas, pengudaraan baik dan penyediaan ruang khusus bagi warga emas, orang sakit dan orang kelainan upaya (OKU).
“Kemudahan awam dan bangunan selesa perlu diberi perhatian supaya masjid menjadi tempat menyenangkan untuk semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Mengenai pembangunan di kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), beliau menjelaskan, adalah penting untuk semua pihak memastikan kawasan perumahan diselenggara dengan baik dan memperindah landskap termasuk penanaman pokok.
“DBKU bukan sekadar badan pentadbir bandar tetapi agensi membangunkan komuniti secara bersama,” jelasnya.
Sehubungan itu menurutnya, setiap komuniti perlu terus bersatu dan bekerjasama bukan hanya dalam aspek pembangunan tetapi juga dalam pembinaan masyarakat progresif.-TVS