Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto fail Bernama

MAS buru perenang warisan, ikut jejak langkah Singapura

ByBernama

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Akuatik Malaysia (MAS) memperhebat usaha mengenal pasti dan merekrut perenang warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan menerusi pendekatan yang turut diguna Singapura.

Pengerusi Renang MAS Marilyn Chua berkata usaha tersebut membabitkan pencarian bakat dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan program renang negara.

“Ya, sudah tentu. Sejak beberapa tahun lalu, kami menerima maklum balas positif daripada beberapa rakyat Malaysia di luar negara yang menunjukkan minat.

“Sehingga kini, kami telah mengenal pasti sekitar lima perenang berusia antara 14 hingga 19 tahun,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Akuatik Malaysia (MAS) di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Penggunaan atlet warisan bukanlah perkara baharu dalam sukan negara, khususnya bola sepak yang telah lama mengguna pakai pendekatan itu bagi memperkuat skuad kebangsaan.

Mengulas lanjut, Marilyn yang juga Timbalan Presiden MAS menegaskan bahawa perenang warisan perlu membuktikan kemampuan mereka untuk mewakili negara.

Katanya pemilihan hanya akan dibuat sekiranya perenang berkenaan memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan MAS.

“Sukan renang sangat objektif kerana ia berdasarkan catatan masa. Jika mereka memenuhi standard masa yang ditetapkan, mereka akan dipilih berdasarkan merit.

“Mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dan juga bersaing dengan perenang tempatan dari segi ranking,” katanya.

Dalam AGM tersebut, Andy Low dan Yan Kong Lee secara rasmi menerima mandat daripada Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menggalas jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari.

Sementara itu, lima jawatan Ahli Jawatankuasa yang dipertandingkan dimenangi oleh Tasha Jane Taher Ali, Goh Kah Yo, Chee Pao Kam, Haris Lua Abdullah dan Sung Jun Hao.

Terdahulu, Shahidan bersama Marilyn, Anthony Ang (Naib Presiden) dan Nurul Huda Abdullah (Penolong Setiausaha) menang tanpa bertanding bagi jawatan masing-masing.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan