BINTULU, 28 Jun: Sebanyak 373 kilogram sampah berjaya dikutip dalam aktiviti gotong-royong pembersihan pantai menerusi Program ‘Laut Needs You’ di Pantai Tanjung Batu, di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (MPP UPMKB) dengan kerjasama Sarawak Eco Warrior (SEW).
Menurut kenyataan UPMKB, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UPMKB terhadap isu-isu alam sekitar, khususnya berkaitan pencemaran laut dan pantai.
“Antara pengisian utama program adalah aktiviti gotong-royong pembersihan pantai, di mana para peserta berjaya mengumpul sebanyak 373 kilogram sampah di kawasan persisiran.
“Usaha ini bukan sahaja memberi kesan langsung kepada kebersihan kawasan pantai, malah menyemai rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan peserta terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar,” kata kenyataan itu.
Selain aktiviti pembersihan, peserta turut didedahkan dengan maklumat mengenai haiwan yang diancam kepupusan melalui aktiviti interaktif seperti teka-teki cabaran biodiversiti, yang bertujuan menggalakkan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan.
Melalui penganjuran program ini, para peserta diharapkan lebih peka terhadap isu pencemaran dan pemuliharaan alam sekitar, serta menjadi agen penyampai kesedaran kepada masyarakat sekeliling mengenai kepentingan menjaga kelestarian bumi. -TVS