KUCHING, 28 Jun: Jasad lelaki yang dibaham buaya ketika memancing ikan di Sungai Maong di sini, malam tadi, ditemui dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Mohd Irwan Hafiz MD Radzi berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui jasad mangsa, Jacob Tuan, 32, lebih kurang 300 meter dari lokasi mangsa disambar buaya.
“Keadaan badan mangsa mengalami beberapa kesan kecederaan akibat dibaham buaya dan telah meninggal dunia.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi SAR ini.
Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, mangsa memancing di tebing sungai berkenaan bersama bapa mentuanya dikenali Pak Eddie.
Menurut bapa mentuanya, buaya tiba-tiba muncul dan menyambar menantunya.
“Hanya kata-kata terakhir mangsa menjerit melaungkan nama ‘Bapak’ kedengaran sebelum ditarik buaya ganas itu,” katanya.
Ketika kejadian mangsa sedang memancing ikan di tebing sungai yang berada dalam anggaran 200 meter dari jalan raya.-TVS