KUCHING, 27 Jun: Seorang ibu tunggal anak satu berusia 50 tahun, Jennifer James Nieet dari Kampung Sudoh, Singai muncul juara dalam Pertandingan Sindok Gawea Tematu 2025 (SGT25) yang diadakan pada Jumaat.
Lebih manis lagi dalam Pertandingan Ratu Cantik bagi kategori wanita yang bergelar ibu, Jennifer menewaskan peserta lain yang jauh lebih muda dari dirinya.
Jennifer yang ditemui TVS usai berakhirnya program Tematu Ethno Fest 2025 sekitar jam 1.30 pagi tadi kelihatan terkejut selepas diumumkan juara
“Saya tidak sangka akan menang kerana semuanya hebat-hebat, jadi (memang) terkejut lah malam ini.
” Saya gembira, terima kasih kepada penganjur Tematu Ethno Fest 2025 dan saya memang tidak menyangka akan menang malam ini, “katanya lagi.
Selain menjadi juara STG25, pakaian yang di peragaan Jennifer turut dinobatkan sebagai kostum terbaik dalam pertandingan malam tadi sekaligus membolehkan dirinya membawa pulang wang tunai keseluruhan RM 2500, hamper dari penaja, bunga, trofi dan mahkota.
Selain STG25, turut diumumkan pemenang malam tadi adalah pertandingan Onak Dayung Gawea Tematu 2025 (ODGT25) atau pertandingan ratu kanak-kanak cilik.
Dalam kategori ini, Nurul Nisa Lil Alamin Mohd Zulfiqar, 8 yang merupakan satu-satu peserta beragama Islam dan mendapat tempat ketiga bagi kategori itu.

Ibunya, Aisyah Humairah Kathy Fraddie Abdullah, 40 dari Kampung Tematu berkata beliau mahu anak perempuannya itu mengikut jejak langkahnya yang aktif menyertai pertandingan itu sebelum ini.
“Sebab saya mengikuti pertandingan ini adalah untuk anak, untuk mengekalkan adat Kaum Bidayuh walaupun beragama Islam sebab saya dahulupun sebelum masuk Islam saya mengikuti benda yang sama dan saya turunkan kepada anak dengan tarian semuanya,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang hadir menyempurnakan upacara penyampaian hadiah-TVS